Nur Afiradina Arshad
cnews@nstp.com.my


JURU teknik mendakwa dia disamun oleh dua lelaki yang menggunakan senjata menyerupai pistol di kedai makan di Batu 11, Kajang, kelmarin.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa Tan Ching Keong, 34, bersama rakannya sedang makan di kedai berkenaan.

Tiba-tiba datang tiga lelaki yang menaiki dua motosikal yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dan seorang daripada mereka datang ke arah mangsa lalu mengacukan senjata menyerupai pistol.

"Suspek berkenaan meminta beg, namun saya enggan memberikan beg itu lalu dia merampasnya dan melarikan diri dari lokasi kejadian dalam keadaan kelam kabut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya semasa suspek cuba melarikan diri, senjata yang menyerupai pistol itu terjatuh dan mangsa mengesyaki bahawa senjata itu adalah mainan sahaja.

"Saya yang menyedari hal berkenaan bertindak memukul suspek menggunakan kerusi kerana terlalu marah, namun mereka sempat melarikan diri bersama barang yang disamun," katanya.

Katanya barang yang diambil oleh suspek adalah milik pelanggannya yang baru sahaja diberikan untuk dibaiki olehnya.

"Dalam beg itu terdapat tiga telefon bimbit milik pelanggan dan satu milik saya. Selain itu suspek juga mengambil wang tunai, kad ATM, kad kredit serta kunci kenderaan," katanya.

Katanya di lokasi kejadian terdapat rakaman litar tertutup (CCTV) dan meminta pihak polis untuk menyiasat kejadian ini dengan lebih lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:52 AM