RAKAMAN kamera menunjukkan penunggang motosikal membaling batu pada cermin hadapan kereta mangsa.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


Georgetown: Polis mengesan penunggang motosikal yang dipercayai membaling batu menyebabkan cermin hadapan kereta seorang pemandu Uber retak di Jalan Ria, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian 7.40 pagi, mangsa, wanita berusia 45 tahun pada mulanya menurunkan penumpang dihadapan sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Dia kemudian meneruskan perjalanan hingga Jalan Penang dan ketika itu terdengar bunyi hon seorang penunggang motosikal beberapa kali namun mangsa tidak mengendahkannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, sebaik berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Ria, seorang penunggang motosikal secara tiba-tiba membaling batu menyebabkan cermin hadapan Perodua Myvi mangsa retak.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek menunggang motosikal Honda EX5 hitam bersama pembonceng iaitu seorang wanita.

“Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek dan nombor pendaftaran motosikal terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:55 AM