KEMALANGAN menyebabkan dua mangsa maut dan dua lagi cedera apabila motosikal dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 10, Jalan Seremban-Port Dickson, Port Dickson, malam tadi. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
cnews@nstp.com.my


WANITA Indonesia berusia 39 tahun dan anak perempuan angkat berusia tiga tahun maut apabila motosikal dinaiki mereka bersama suami dan seorang lagi anak dirempuh kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang di Kilometer 10, Jalan Seremban-Port Dickson, Port Dickson, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, Mulyana maut di tempat kejadian manakala Hidayu Nurmadna meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, kemalangan itu turut menyebabkan suami Mulyana, Akmin Hariyanto, 47 dan seorang lagi anak cedera di anggota badan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki empat beranak itu yang dari arah Port Dickson berhenti untuk membelok ke kanan menuju ke stesen minyak dan dirempuh dari belakang oleh Perodua Kembara dipandu lelaki berusia 64 tahun.

"Semua mangsa tercampak di atas jalan raya manakala pemandu kenderaan itu tidak cedera.

“Mulyana yang membonceng motosikal itu cedera parah dan mati di tempat kejadian manakala anak angkatnya, Hidayu Nurmadna meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTJ.

"Mayat Mulyana dibawa ke Bilik Mayat Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:59 AM