ULAR sawa yang menelan kucing peliharaan seorang wanita berjaya ditangkap anggota APM di Taman Siang Siang, Miri. FOTO Ihsan APM
Mohd Rizal Abdullah
Mohd.rizal@nstp.com.my


KEMUSYKILAN wanita apabila kucing peliharaannya tidak datang apabila dipanggil untuk diberi makan, terjawab apabila haiwan kesayangannya itu ditelan ular sawa dalam kejadian di perkarangan rumahnya di Taman Siang Siang, Miri, petang semalam.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, wanita berusia 40 tahun itu cuba mencari kucing peliharaannya itu di sekitar rumahnya sebelum dia ternampak sesuatu bergerak di celahan pokok bunga di luar rumah.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri, Kapten Hazle Shah Abd Hamid berkata, wanita terbabit cuba memeriksa dan mendapati terdapat ular sawa sepanjang hampir tiga meter di celah pokok itu.

Menurutnya, beberapa anggota APM Miri bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada wanita terbabit pada 2.38 petang berhubung kejadian itu.

“Ular berkenaan dikatakan baru saja menelan kucing peliharaan milik wanita terbabit,” katanya.

Ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas tidak lama kemudian dan dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri sebelum dilepaskan semula ke dalam hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 4:02 PM