ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi dua nelayan warga Indonesia maut selepas terbelit pada tali pukat tunda, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


DUA nelayan warga Indonesia maut selepas terbelit tali pukat ketika sedang menarik pukat terbabit di sebuah kapal tunda di perairan Pulau Mengalum, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa Muhammad Mansur, 31, dan rakannya Gading Abdullah, 31, dipercayai sudah tidak bernyawa sebaik dibawa ke jeti Sabah Fish Marketing (SAFMA) sebelum dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pemilik bot pukat tunda berkaitan kejadian itu pada jam 5 petang hari sama.

“Siasatan mendapati, ketika itu mangsa pertama tersangkut pada gulungan tali pukat.

“Mangsa kedua yang cuba membantu mangsa pertama turut tersangkut di dalam gulungan tali dan termasuk ke dalam gulungan tali pukat itu juga," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, rakan-rakan mangsa cuba membantu, namun kedua-duanya sudah tidak sedarkan diri dan dipercayai meninggal dunia.

“Kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HQE 1 untuk bedah siasat pada 11 malam tadi.

“Siasatan mendapati tiada sebarang perbuatan atau unsur jenayah dalam kejadian itu," katanya.

Katanya, orang ramai yang mengenali mangsa diminta membantu pihak polis menghubungi keluarga mereka dan memaklumkan kepada pegawai penyiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 4:16 PM