KEADAAN tabung yang pecah selepas diumpil suspek di Masjid Al Amin, Kampung Sri Damai. Suspek turut menggunakan sejadah untuk menutup rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mengumpil tabung masjid. FOTO Shahrul Nizam Mohamad
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


GUNA sejadah untuk menutup rakaman kamera litar tertutup (CCTV), itu taktik licik penjenayah bagi mengelak perbuatannya dirakam sebelum mengumpil tabung Masjid Al Amin, Kampung Sri Damai, Kuantan, pagi tadi.

Kehilangan wang itu disedari bilal masjid berkenaan, Mohamad Ngah, 60, selepas selesai mengazankan solat Subuh.

“Saya tiba di masjid 4.45 pagi dan langsung tidak menyedari dua tabung masjid diumpil.

“Apabila memandang ke arah pintu utama masjid, saya ternampak pintu tabung terbuka manakala mangganya sudah rosak dan wang juga hilang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamad berkata, dia kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada imam masjid, Abdul Mubim Chik, 60, yang tiba setengah jam kemudian sebelum membuat laporan di Balai Polis Jaya Gading, di sini.

Katanya, pihak pengurusan masjid itu yakin perbuatan terbabit dilakukan lebih daripada seorang antara 2 hingga 4 pagi apabila mereka menggunakan sejadah untuk melindungi kamera CCTV.

Mohamad berkata, kejadian itu kali ketiga berlaku dan mereka bercadang menggunakan khidmat anggota Rela membuat pemantauan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 5:29 PM