Sarah Zulkifli
sarah@nstp.com.my


PEMILIK kedai emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas tujuh pertuduhan menerima lebih RM500,000 hasil daripada aktiviti haram, tiga tahun lalu.

Tertuduh T Soundthirarajan, 57, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Mengikut kesemua pertuduhan, Soundthirarajan didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM531,642 yang juga hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun bank milik Raveen Jewellery Enterprise yang mana dia adalah pemilik tunggal perniagaan itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Damansara Jaya antara 5 Januari 2015 hingga 9 Mac 2016.

Tujuh pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda minimum lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Shafinas Shabudin memohon jaminan RM400,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon jumlah jaminan yang munasabah atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan jaminan RM105,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Selain itu, tarikh 23 April depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 5:54 PM
TERTUDUH mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini. FOTO Saddam Yusoff