SUBRAMANIAM (tengah) melancarkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia di Kementerian Kesihatan, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Nasi goreng, nasi lemak, budu dan nasi ayam antara 20 hidangan kegemaran rakyat Malaysia yang disenaraikan Kementerian Kesihatan mengandungi kandungan garam tinggi, sekali gus berisiko diserang penyakit darah tinggi, jantung dan strok (angin ahmar) jika tidak dikawal.

Berdasarkan kajian My Salt 2015, kicap cair berada di kedudukan pertama bagi makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi diikuti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, kicap pekat dan sup daging lembu.

Mengikut kajian sama, secara purata rakyat Malaysia mengambil 7.15 gram garam atau lebih satu sudu teh sehari, melebihi saranan lima gram yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata, berdasarkan kajian sama, pengambilan garam berlebihan itu diambil rakyat berusia 18 tahun ke atas, namun beliau percaya jumlah pengambilan garam lebih tinggi bagi rakyat berusia 18 tahun ke bawah.

“Kami mendapati kanak-kanak di bawah umur lebih cenderung mengambil makanan mengandungi kandungan garam tinggi seperti makanan berproses, snek dan makanan ringan,” katanya sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2018 bertema ‘5 Cara Capai 5 Gram Garam’ di sini, semalam.

Beliau berkata, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi dan jika tidak dikawal boleh mengundang penyakit jantung dan strok serta boleh menyebabkan kematian.

Menurutnya, antara makanan kegemaran rakyat Malaysia yang perlu dikawal termasuk sos cili, sos tomato, makanan dalam tin, nuget, burger, makanan diawet, ikan bilis, ikan masin dan keropok.

Katanya, WHO menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi lima gram atau kurang daripada satu sudu teh sehari.

“Selain itu, WHO juga meletakkan sasaran untuk mengurangkan pengambilan garam sehingga 30 peratus menjelang 2025.

“Bagi Malaysia, kementerian menetapkan sasaran pengurangan pengambilan garam daripada 8.7 gram kepada enam gram menjelang 2025,” katanya.

Menurutnya, menerusi minggu kesedaran bermula 12 hingga 18 Mac, lima langkah perlu dilakukan individu bagi mengurangkan pengambilan garam kepada lima gram sehari termasuk pilih untuk makan secara sihat, beransur-ansur kurangkan pengambilan garam, menggantikan garam dengan rempah-ratus dan perisa asli, lebihkan pengambilan sayur dan kerap makan di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:41 AM