DR Richard (dua dari kiri) bersama Dr Ismail (tiga dari kiri) menyampaikan APC kepada Norazreen Ab Rashid, semalam.
Nursyahirah Marzuki
cnews@nstp.com.my


Putrajaya: Sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan tahun ini ditangguhkan pada satu tarikh lain selepas Aidilfitri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut punca sebenar penangguhan.

Difahamkan, penangguhan itu mungkin ada kaitan dengan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya ingin sebutkan Hari Pekerja yang sepatutnya jatuh pada 1 Mei tiap tahun dan tema Hari Pekerja tahun ini Pekerja Berkemahiran Peneraju Kecemerlangan Negara.

“Walaupun Hari Pekerja jatuh pada 1 Mei, tetapi saya percaya sambutan itu tidak dapat diadakan pada tarikh berkenaan kerana saya percaya pada waktu itu...tidak payah sebut, anda cari sendiri.

“Saya sudah pun meminta KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia) untuk mencari tarikh baru selepas Aidilfitri,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 Kementerian Sumber Manusia di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Mohd Gazali Abas

Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah memberi bayangan mengenai tarikh PRU14 apabila memaklumkan akan ada dua ‘Hari Raya’ sebelum orang ramai berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

Dalam perkembangan lain, Richard berkata, antara kecemerlangan utama yang berjaya dicapai kementeriannya pada tahun lalu termasuk kejayaan kontinjen Malaysia merangkul dua pingat gangsa dan sembilan pingat Medallion for Excellence pada pertandingan Worldskills Competition (WSC) 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Oktober 2017.

“Selain kejayaan di WSC 2017, pencapaian dan kejayaan Kementerian Sumber Manusia pada tahun tahun lalu diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 111 peratus,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil kepada 642 kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 8:51 AM