RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Shahidah mengikut individu terbabit dari belakang.
Nur Sufiah Abd Halim
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Berlakon sebagai pengurus pusat beli-belah terkemuka dengan menawarkan mangsa pekerjaan sebelum melarikan barang berharga milik mereka.

Itu taktik seorang lelaki yang menyasarkan golongan wanita di pusat beli-belah sebagai mangsa sebelum menghilangkan diri bersama telefon bimbit dan barang kemas dipakai mereka.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas beberapa mangsa memuat naik status hingga tular di laman sosial berkongsi pengalaman mereka dipukau dan disamun seorang lelaki dipercayai individu sama menyamar sebagai pengurus pusat beli-belah.

Mangsa, Shahidah Mohamad Halmi, 23, berkata, dia yang ingin pulang selepas keluar bersama rakan di pusat beli-belah Setia City Mall, Shah Alam, tiba-tiba disapa seorang lelaki berpakaian kemas berusia lingkungan 30 tahun.

Katanya, ketika kejadian jam 4.30 petang pada 6 Mac lalu lelaki, terbabit menawarkannya bekerja di pasar raya pusat beli-belah itu kerana kebetulan dia juga sedang mencari kerja.

“Dia terus menerangkan skop kerja dan memaklumkan tidak membenarkan pekerja memakai aksesori kerana bimbang akan menyebabkan kerosakan.

“Ketika diminta melakukan beberapa kerja (menyusun barang) untuk menguji saya, lelaki itu meminta saya menanggalkan aksesori termasuk barang kemas sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, selepas menyedari lelaki berkenaan lesap, dia kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan pasar raya itu dan membuat laporan di Balai Polis Shah Alam.

Shahidah berkata, akibat kejadian itu dia kerugian lebih RM2,000.


LAPORAN polis yang dibuat Shahidah.

Mangsa kedua, Nur Aziatul Annisa Rosli, 19, berkata, ketika berada di KL Gateway jam 3 petang pada 9 Mac lalu, seorang lelaki berkelakuan pelik tiba-tiba menegur dan memegang bahunya sambil memperkenalkan diri sebagai pengurus di pusat beli-belah itu.

“Dia menawarkan pekerjaan dan memaksa saya mengikutnya untuk menerangkan mengenai kerja.

“Lelaki terbabit kemudian membawa saya ke satu tempat di dalam pusat beli-belah itu untuk menguji kebolehan saya bekerja. Malah, saya diminta memberikan kata laluan telefon bimbit saya untuk urusan kerja,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit kemudian meminta telefon bimbitnya dengan alasan ingin memuat turun aplikasi, malah turut meminta gelang tangannya kerana mendakwa tidak boleh memakai aksesori ketika bekerja walaupun ketika itu hanya sebagai latihan.

“Kira-kira 30 minit kemudian, saya menyedari ada sesuatu tidak kena dan lelaki terbabit sudah tidak kelihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:43 AM