PELAJAR cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Arif Syahmi Alias, 18, yang memperoleh 11A+ bersama ibu, Norlehah Jamon, 55, dan abang sulungnya, Amir Farhan, 26 ketika ditemui di sekolahnya. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


“PADA tahun lalu, saya menutup media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp demi memberi fokus sepenuhnya dalam pelajaran untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Perkara itu dilakukan kerana saya tahu media sosial akan melalaikan sehingga tidak dapat memberi fokus dalam mengulangkaji mata pelajaran," kata pelajar terbaik Kelantan, Arif Syahmi Alias, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, yang mendapat keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Anak yatim yang kehilangan ayah akibat penyakit buah pinggang lima tahun lalu berkata, dia menjadi harapan keluarga terutama ibunya, Norlehah Jamon, 55, yang bekerja sebagai guru untuknya menjadi pelajar cemerlang.

"Dalam pelajaran, saya memberi fokus sepenuhnya ketika guru mengajar dan jika tidak memahami saya akan terus bertanya kepada guru serta mengulang kaji di rumah.

"Saya juga tidak akan meniru ketika membuat kerja rumah yang diberi guru kerana ia akan menjadikan kita lemah dalam mata pelajaran," katanya ketika ditemui di SMKA Lati, di sini, hari ini.

Dalam keputusan SPM SMKA Lati di antara 24 sekolah terbaik di Kelantan dengan jumlah seramai sembilan pelajar yang mendapat keputusan 11A.

Pelajar, Nor Amilia Haris, 18, yang mendapat keputusan 9A+ dan 2A, berkata, belajar secara berkumpulan serta berkongsi ilmu dengan rakan membolehkan dirinya mendapat 11A.

"Dengan mengajar rakan, saya dapat mengingati pelajaran.

"Selain itu, saya sentiasa istiqamah membaca buku sebelum tidur walaupun hanya untuk beberapa minit sahaja. Saya juga mengamalkan sembahyang hajat dan membaca al-Quran untuk menguatkan daya ingatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 5:23 PM