LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merampas barangan termasuk kerusi dan meja di restoran milik jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri di Kota Damansara, malam tadi adalah rutin tugas penguat kuasaan.

Pegawai Komunikasi Korporat MBPJ Abdul Hakim Khairuddin berkata, selain restoran selebriti terbabit, pihaknya turut merampas barangan di tujuh premis lain di kawasan itu berdasarkan aduan awam.

“Pemeriksaan yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa MBPJ di kawasan itu malam tadi adalah rutin harian, selain aduan diterima berhubung kesalahan dilakukan pemilik premis.

“Ketika pemeriksaan di premis selebriti itu, kami mendapati terdapat kesalahan dilakukan iaitu halangan di tempat awam menyebabkan anggota penguat kuasa terpaksa merampas barangan yang menghalang laluan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemeriksaan dilakukan tidak mengkhususkan mana-mana pihak sebaliknya dilakukan sebaik menerima aduan awam atas kesalahan dilakukan pihak berkenaan.

“Dalam kes ini, kami turut merampas barangan di lapan premis sekitar kawasan itu termasuk restoran milik selebriti terbabit yang melakukan kesalahan halangan di tempat awam.

“Kami turut mengeluarkan kompaun terhadap lapan premis terbabit atas kesalahan dilakukan," katanya.

Katanya, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana menjadi tanggungjawab anggota penguat kuasa MBPJ untuk menjalankan tugas mereka.

“Adalah tidak adil bagi orang ramai untuk membuat spekulasi berhubung kejadian itu di media sosial selepas perkara itu tular kerana kami hanya menjalankan tugas.

“Cuma kejadian ini menjadi 'hangat' kerana membabitkan selebriti terkenal yang turut memaklumkan perkara itu di media sosial," katanya.

Berita berkaitan

Restoran Aliff Syukri diserbu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 6:28 PM