MD Mahmudur Rahaman Rana. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

cnews.nstp.com.my

POLIS mengesan lelaki warga Bangladesh untuk hadir di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi perbicaraan kes samun dan rogol pada 20 dan 21 Mac depan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, lelaki itu Md Mahmudur Rahaman Rana, 35, yang juga saksi utama kes berkenaan kini menghilangkan diri.

Katanya, lokasi terakhir lelaki itu dipercayai di Pulau Pinang, namun sehingga kini dia gagal dikesan sekali gus tampil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Lelaki terbabit adalah salah seorang daripada dua mangsa dalam kejadian samun dan rogol di sebuah kafe siber di Bandar Kinrara 2 pada Mei tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Aizam Mohamad Razif di talian 014-3372711 atau balai polis berhampiran.

Dalam kejadian itu, Md Mahmudur bersama pekerja wanita disamun dua lelaki sebelum suspek merogol wanita warga Indonesia berkenaan.

Kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis terbabit sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 9:06 PM