Muhammad Mustakim Ramli

LAPORAN Indeks Pasport 2018 yang mengiktiraf pasport antarabangsa Malaysia sebagai yang kelima paling berkuasa di dunia membuktikan pengiktirafan negara asing terhadap kemampuan kerajaan mentadbir urus dokumen perjalanan rakyat negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, menerusi ranking yang dikeluarkan oleh Arton Capital pada Rabu lalu, kedudukan pasport antarabangsa Malaysia itu telah meningkat satu tangga selepas berada di ranking keenam sebelum ini.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah sesuatu yang membanggakan kerana ranking itu berada lebih baik berbanding negara negara lain seperti Greece yang berada di kedudukan keenam, Australia (7) New Zealand (8) dan Hungary (9).

“Pengiktirafan ini menunjukkan keyakinan negara-negara lain terhadap kecekapan Kerajaan Malaysia dalam soal mentadbir urus dokumen perjalanan warganya, tanpa memerlukan visa," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Setia Berjasa Peringkat Zon Utara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Kangar hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 300 pegawai dan anggota Imigresen dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak hadir mendengar taklimat bulanan oleh Mustafar.

Mengulas lanjut, Mustafar berkata, walaupun rakyat Malaysia mudah memasuki negara lain, pihaknya tidak berkompromi soal keselamatan dalam menjaga nama baik dan kedaulatan negara ini.

"Aspek keselamatan akan terus diberi keutamaan, kita tidak mahu rakyat kita terbabit dalam perkara atau aktiviti yang melanggar undang-undang negara luar ketika melancong," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JIM bersedia untuk memastikan urusan kemasukan pelancong ke negara ini berjalan lancar bagi membantu kerajaan mencapai sasaran menarik lapan juta pelancong sehingga tahun 2020.

"Pada musim perayaan Tahun Baru Cina pada bulan lalu sahaja lebih 200,000 pelancong dari China datang ke negara ini dan tidak mustahil jumlah mereka akan bertambah lagi memandangkan tahun lalu sahaja 2.6 juta pelancong dari negara itu berkunjung ke Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 5:13 PM