Siraj Mohd Zaini


PENGURUS syarikat binaan berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya, Sabtu lalu.

Tertuduh Sobri Abdul Wahab, 40, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh wanita warga Indonesia, 38, di sebuah apartmen di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Perbuatan itu dilakukan antara 6 petang hingga 8 malam pada 10 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mandatori gantung sampai mati.


TERTUDUH (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas tuduhan membunuh wanita warga Indonesia. FOTO Roslin Mat Tahir

Peguam Khairul Naim Rafidi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk menghantar anak guamnya ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan psikiatri kerana kurang siuman.

Katanya, tertuduh sebelum ini pernah menjalani rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kali terakhir pada 2016 lalu sebelum berubat secara tradisional.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dengan tertuduh menjalani rawatan di hospital berkenaan selama sebulan mengikut Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muad Ahmad Khairuddin dan kes akan disebut semula pada 12 April ini.

Berita berkaitan

'Tragedi tragis ajak kahwin'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 10:19 PM