GAMBAR hiasan
Mohd Hasbi Sidek


KEKASIH yang menipu lebih 30 individu dengan mengemukakan resit transaksi palsu selepas membeli barang berharga daripada pelanggan secara atas talian ditahan polis di hotel dekat Lingkaran Syed Putra, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Difahamkan, suspek wanita dan teman lelakinya lelaki warga Britain menggunakan modus operandi mengatur pertemuan dengan pelanggan di kondominium mewah untuk menunjukkan kekayaan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah berkata, suspek adalah wanita warga tempatan berusia 27 tahun, manakala suspek lelaki adalah warga Britain berusia 32 tahun.

"Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa sebelum ini, kami melakukan siasatan sebelum mengesan kedua-dua suspek di hotel di Lingkaran Syed Putra, sebelum melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pasangan berkenaan terbabit dengan kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan pasangan berkenaan menyamar sebagai orang kaya dengan melakukan perjumpaan dengan penjual barangan mewah atas talian di kondominium mewah untuk meyakinkan mangsa.

Modus operandi mereka adalah mendakwa pembayaran akan dibuat melalui transaksi dari bank luar negara sebelum mangsa diberikan salinan resit palsu sebagai bukti pembayaran.

Semakan mendapati suspek wanita itu mempunyai rekod jenayah membabitkan jenayah tipu akibat cuba melarikan kereta sewa di Melaka pada 2015 selain dikehendaki bagi membantu siasatan kes penipuan.

Difahamkan pasangan kekasih itu dikatakan sudah menipu lebih 30 individu membabitkan penipuan jual beli di laman web dengan nilai kerugian dianggarkan RM100,000.

Mohd Luthfi berkata, kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita berkaitan

Kaya ke?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 11:51 AM