RUMAH di Kampung Seberang Pekan, Baling rosak apabila bumbungnya diterbangkan ribut dalam kejadian petang ini. FOTO ihsan pembaca
Safuri Kamarudin

cnews.nstp.com.my

HUJAN lebat dan angin kencang menyebabkan 20 rumah rosak dipukul ribut di Kampung Seberang Pekan, Baling, petang ini.

Dalam kejadian 5 petang itu, ada rumah rosak teruk akibat dihempap pokok selain bumbung dan dinding diterbangkan angin.

Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Bencana Daerah Baling Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman berkata, angin kencang dan hujan lebat melanda daerah ini dua hari berturut-turut sejak semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian semalam, 30 rumah di Mukim Pulai dan Kupang rosak akibat dipukul ribut.

"Petang ini pula, 20 rumah di Mukim Baling dilanda bencana itu. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Md Shuhaimie berkata, bantuan segera dihantar kepada mangsa dengan kerjasama beberapa agensi seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling dan Majlis Daerah Baling (MDB).

"Bantuan awal berupa barangan makanan dan kit bencana seperti selimut dan kain pelikat diberikan segera kepada mangsa.

"Manakala APM, MDB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut membantu,” katanya.

Beliau berkata, Penghulu Mukim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan memberi laporan bagi memudahkan bantuan baik pulih rumah dapat dilakukan dengan segera.

Katanya, Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Baling akan membantu membaiki rumah yang rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 8:18 PM