BONET kereta dipandu seorang lelaki ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Stadium Perak berhampiran Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam, Ipoh, hari ini. FOTO ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI terselamat selepas kereta dipandunya ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Stadium Perak berhampiran Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Sungai Senam, Ipoh, hari ini.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.25 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati pokok tumbang itu turut mengenai wayar elektrik dan telefon.

"Terdapat seorang lelaki berusia 57 tahun dalam kereta ditimpa pokok tumbang berkenaan dan mangsa dikeluarkan anggota bomba," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, lelaki terbabit tidak cedera manakala kereta rosak pada bahagian hadapan.

Menurutnya, anggota bomba kemudian memotong pokok terbabit kepada potongan kecil dan mengalihkannya ke tepi jalan.

"Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut membantu operasi pemotongan pokok manakala Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) membantu memotong bekalan elektrik serta wayar telefon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 8:54 PM