ANGGOTA KPDNKK merampas beg tiruan ketika serbuan di Seksyen 14, Shah Alam.
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my

Shah Alam: Sejumlah 1,029 beg tangan tiruan pelbagai jenama terkemuka bernilai RM41,845 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor dalam serbuan berasingan, minggu lalu.

Serbuan sepasukan anggota penguat kuasa itu membabitkan sebuah pusat pemborong terkemuka di Klang dan sebuah premis di Seksyen 14 di sini, Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai penjualan barangan tiruan di dua premis berkenaan.

“Dalam serbuan awal, kami merampas 1,009 beg beberapa jenama terkenal bernilai RM40,445 disimpan di dalam stor premis.

“Serbuan kedua pula dilakukan pada keesokan harinya (Khamis) di premis Seksyen 14 dan merampas lebih 20 beg tiruan berkenaan bernilai RM1,400,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana membekalkan atau menawarkan barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

Difahamkan, beg dirampas antaranya jenama Gucci, Carlo Rino, MCM dan Sembonia.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya menyerbu dua premis di Klang dan daerah ini yang menjual cakera padat (CD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak, minggu lalu.

“Kami merampas 1,746 keping bahan itu yang dianggarkan bernilai RM14,120.

“Kes disiasat mengikut Perintah Perihal Dagangan (Label Cakera Optik) 2010 iaitu kesalahan menjual cakera optik cetak rompak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 6:20 AM