RAKAMAN CCTV memaparkan suspek memecahkan cermin tingkap kereta di Jalan Genting Klang.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki mengambil masa hanya seminit untuk menyelongkar kereta mewah yang diletakkan di depan sebuah rumah di Jalan Genting Klang, Setapak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.41 pagi itu, suspek terbabit yang menaiki kereta Perodua Myvi memecahkan cermin tingkap bahagian pemandu kereta Toyota GT86 berkenaan sebelum menyelongkar barangan di dalamnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kejadian disedari mangsa lelaki berusia 27 tahun ketika dia keluar dari rumahnya pada jam 8.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati ada beberapa barangan milik mangsa dilaporkan hilang termasuk kad pengenalan, kamera dan peralatan kereta dianggarkan bernilai RM3,000.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, kami mendapati hanya seorang suspek lelaki terbabit dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohamad Roy berkata, pihaknya giat mengesan lelaki terbabit berdasarkan rakaman CCTV diperoleh.

“Kes disiasat mengikut Sekyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Rakaman CCTV itu yang memaparkan seorang lelaki menaiki Perodua Myvi hitam memecahkan cermin tingkap kenderaan berkenaan turut tular di Facebook, sejak kelmarin.

Dalam rakaman itu, seorang lelaki dilihat memberhentikan kereta Perodua Myvi dinaikinya bersebelahan kenderaan berkenaan sebelum dilihat beredar dari kawasan terbabit selepas memecahkan cermin tingkap kereta itu dan melarikan beberapa barangan berharga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 6:26 AM