FOTO Hiasan
Norrasyidah Arshad
norrasyidah@nstp.com.my


MISTERI bau busuk dihidu penduduk kondominium di bandar ini terungkai apabila mayat suami isteri ditemui dalam rumah sewa mereka di Klang, petang semalam.

Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, kedua-dua mangsa berbangsa Cina itu dijumpai pada 4.30 petang.

Menurut beliau, penemuan mayat itu susulan aduan daripada orang awam yang memaklumkan terhidu bau busuk di rumah berkenaan.

"Bertindak atas maklumat itu, penyelia pengawal keselamatan terpaksa memecahkan pintu berikutan rumah itu dikunci dari dalam.

"Apabila masuk, rumah itu dalam keadaan gelap kerana tiada bekalan elektrik dan anggota kita yang turut berada di lokasi menemui mayat lelaki terbaring di luar bilik air.

"Selepas aliran elektrik disambung semula, mayat seorang lagi wanita ditemui di dalam bilik air rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kata Mazelan, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menyewa unit kondominium itu sejak dua tahun lalu.

"Lelaki itu berusia lingkungan 50-an manakala identiti wanita masih tidak dapat dikenalpasti.

"Polis sedang menyiasat punca sebenar kejadian dan mendapati tiada unsur jenayah setakat ini," katanya.

Menurutnya, Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dipanggil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 10:33 AM