KEADAAN basikal kanak-kanak lelaki, Muhammad Aqil Wafiy Mohd Yusof yang maut selepas basikal ditunggang dipercayai dirempuh dari belakang sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan - Kampung Gajah. FOTO Ihsan pembaca
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KANAK-kanak lelaki maut selepas basikal ditunggang dipercayai dirempuh dari belakang oleh kereta dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Teluk Intan - Kampung Gajah tengah hari, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, Murid Pra Sekolah Kebangsaan Permatang Pelandok, Teluk Intan, Muhammad Aqil Wafiy Mohd Yusof yang genap berusia enam tahun 8 Mac lalu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat pada 12.15 tengah hari memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan basikal dengan Proton Waja.

“Kanak-kanak terbabit dipercayai dilanggar lari kenderaan yang dipandu oleh orang yang tidak dikenal pasti.

“Basikal dan kereta terbabit dipercayai dari arah yang sama iaitu Kampung Gajah menghala ke Teluk Intan,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Mohd Marzhuki berkata, berdasarkan keterangan seorang saksi lelaki berusia 34 tahun yang berada di belakang ketika kemalangan itu berlaku, dia mendakwa kanak-kanak berkenaan dilanggar Proton Waja warna hijau, namun saksi tidak pasti nombor pendaftaran kereta berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian serta basikal dinaikinya mengalami kerosakan rim hadapan tercabut, rim belakang bengkok serta badan basikal turut bengkok.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan usaha mengesan pemandu kereta yang dipercayai terbabit dalam kemalangan itu sedang dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 11:28 AM