KERJA-kerja pemasangan projek Lampu Jalan Kampung (LJK) di Kampung Sekolah Bongor, Baling, Kedah rancak dilaksanakan oleh kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB). FOTO Ihsan TNB
HM Digital

Kerja pemasangan projek lampu jalan kampung (LJK) giat dilaksanakan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 9 Februari lalu.

Projek pencahayaan membabitkan pemasangan lebih 50,000 unit lampu jalan kampung di Semenanjung dan Sabah itu dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan RM100 juta.

Dana peruntukan projek yang bakal memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara itu disalurkan secara bersama, iaitu RM50 juta daripada kerajaan manakala bakinya disumbangkan TNB.

Pembinaan dan pemasangan lampu di kawasan berkaitan dijangka mengambil masa antara 10 minggu hingga 14 minggu, malah TNB diminta untuk menyegerakan kerja terbabit.

TNB ialah agensi pelaksana LJK, manakala Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dipertanggungjawabkan sebagai penyelia projek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 12:26 PM