SEBAHAGIAN penagih termasuk warga emas ditahan polis dalam serbuan di Kampung Lembah Raja, Tasek Gelugor, hari ini. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini
shamsulmubir@nstp.com.my


SERAMAI 18 penagih termasuk beberapa lelaki warga emas ditahan polis dalam serbuan di kawasan ladang kelapa sawit dijadikan sarang penagihan dadah di Kampung Lembah Raja, Tasek Gelugor, hari ini.

Dalam serbuan bermula 6 pagi itu, polis menerima maklumat awal daripada penduduk setempat sebelum menahan penagih berusia antara 25 hingga 70 tahun sedang khayal dadah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, semua penagih terbabit termasuk beberapa lelaki warga emas itu dikepung sebelum diberkas pihaknya.

"Kebanyakan mereka yang ditahan bekerja sebagai buruh, peniaga dan ada yang tidak bekerja.

"Polis berjaya merampas sejumlah 25.9 gram (g) heroin bernilai RM460," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan seorang lelaki yang dipercayai 'tokan' dadah dalam serbuan itu.

Menurutnya, polis sentiasa mengalu-alukan kerjasama dan maklumat orang ramai dalam usaha membanteras penagihan dadah di daerah ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 39B, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen (Ÿ˜”1) Akta Pencegahan Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 5:06 PM