Nurul Hidayah Bahaudin


KUMPUL maklumat mengenai 10,000 individu yang disasarkan sebagai mangsa. Itu taktik sindiket ‘Macau Scam’ yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu di seluruh negara.

Kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis membuat operasi khas di sekitar Lembah Klang dan menahan 14 individu dalam serbuan dijalankan bermula 2 pagi hingga 2.30 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada wanita berusia 54 tahun yang juga penyelia restoran memaklumkan menerima panggilan telefon daripada pihak bank serta pegawai polis berkaitan hutang kad kredit sebanyak RM7,000, Selasa lalu.

"Mangsa yang menafikan mengenai hutang terbabit kemudian disambungkan panggilan kepada dua pegawai polis berpangkat Inspektor yang meminta wanita itu membuat pemindahan wang simpanannya berjumlah RM70,000 ke dalam akaun bank diberi suspek.

"Sebaik urusan itu selesai, mangsa dihubungi pihak bank memaklumkan panggilan telefon diterima adalah penipuan dan berjaya menyekat sebanyak RM30,000, manakala selebihnya dikeluarkan suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, bertindak atas laporan polis dibuat dan hasil risikan dilakukan, pihaknya menjalankan operasi khas dan menahan 14 individu berusia antara 17 hingga 36 tahun yang terbabit dengan sindiket berkenaan.

"Semua suspek ditahan di pusat operasi mereka iaitu di beberapa kondominium sekitar Lembah Klang dan kami merampas 899 barangan terdiri daripada pelbagai peralatan komunikasi, skrip perbualan dalam tiga bahasa dan senarai maklumat mangsa.

"Dalang utama sindiket itu berusia 36 tahun mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi maklumat, manakala dua lagi suspek berperanan sebagai penyelia dan selebihnya menyamar sebagai kakitangan bank dan pegawai polis," katanya yang turut memaklumkan salah seorang suspek dikehendaki bersabit kes bunuh di Sungai Dua, Pulau Pinang pada 2013.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui senarai maklumat lengkap termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat serta maklumat akaun 10,000 individu yang disasarkan sebagai mangsa sindiket berkenaan.

"Melalui maklumat itu, sindiket terbabit akan menghubungi mangsa dan meyakinkan mereka untuk membuat pemindahan ke dalam akaun diberikan suspek dengan mengugut akaun bank akan dibekukan sekiranya enggan berbuat demikian.

"Kami masih menyiasat dari mana sindiket berkenaan memperoleh maklumat terbabit," katanya yang memaklumkan semua suspek direman selama seminggu bermula 17 hingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, penahanan semua suspek itu dipercayai menyelesaikan 44 kes direkodkan di seluruh negara dengan 13 kes daripadanya dilaporkan di Kuala Lumpur dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM3 juta.

"Kami masih memburu beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya apabila menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa daripada kakitangan bank dan pegawai polis memaklumkan mempunyai tunggakan hutang kad kredit, pinjaman peribadi serta lain-lain.

"Pihak polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai informasi mengenai aktiviti mencurigakan dengan melaporkan kejadian itu ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 5:37 PM
MAZLAN (enam dari kanan) menunjukkan barang rampasan selepas menahan 14 anggota sindiket Macau Scam pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Sairien Nafis