Nurul Hidayah Bahaudin


DUA kereta dihempap pokok tumbang berhampiran Angkasapuri, Jalan Pantai Dalam, Bukit Putra, Kuala Lumpur, 5 petang hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khiruddin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 5.35 petang.

"Seramai enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati dua kereta iaitu Proton Saga dan sebuah teksi dihempap pokok tumbang di kawasan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KEADAAN kereta yang dihempap pokok tumbang di Lebuhraya NPE berhampiran Angkasapuri, hari ini. FOTO Aswadi Alias

Khiruddin berkata, anggota bomba kemudian menjalankan kerja pemotongan pokok berkenaan sebelum dialihkan dari laluan terbabit.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya.

Difahamkan kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dianggarkan sejauh dua kilometer di Lebuhraya Pantai Baharu (NPE).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 10:52 PM