MOHD Fauzi Dillah, 39, dari Kampung Gong Dato, Mengabang Telipot putus dua jari akibat tersepit pada kabel mesin penarik bot. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


NELAYAN menempuh pengalaman ngeri apabila dua jari tangan kanannya putus selepas tersepit pada wayar kabel ketika menaikkan bot gentian kaca milik rakannya, kelmarin.

Kejadian kira-kira 8 malam itu mungkin akan menyebabkan Mohd Fauzi Dillah, 39, kehilangan jari telunjuk dan hantu, sekiranya ia gagal disambung.

Isterinya, Rohaya Saat, 41, dari Kampung Gong Datuk, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, berkata, dia terkejut sebaik diberitahu kejadian yang menimpa suaminya itu.

"Suami dikejarkan ke Klinik Kesihatan Batu Rakit sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

"Biarpun kecederaan teruk pada dua jari suami akibat kejadian itu, pihak HSNZ akan berusaha untuk menyambungnya semula," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku selepas suami dan adiknya membantu rakan mereka menaikkan bot gentian kaca ke darat menggunakan mesin penarik bot yang disediakan di pantai Mengabang Telipot.

"Ketika suami sedang mengikat kabel pada bot itu, adiknya yang mengawal mesin yang berada kira-kira 200 meter dari tempat kejadian tidak menyedari dua jari suami tersepit.

"Adiknya terus menghidupkan enjin dan menarik bot itu naik ke darat, sekaligus menyebabkan dua jari suami hancur," katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku terlalu cepat dan ia kemalangan yang tidak dijangka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 3:28 PM