ANGGOTA bomba mengusung Patrick.
HM Digital

Kluang: Warga emas cedera di kaki kanan akibat tercucuk buluh selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Lambak, di sini, jam 5.45 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Akob Sedek berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa pada jam 5.28 petang memaklumkan Patrick Low, 72, tergelincir dan jatuh ketika mendaki gunung itu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan 10 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Tumiran dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamat dan membawa mangsa turun.

“Pasukan mengambil masa 15 minit untuk tiba di tempat kejadian yang berketinggian 600 meter dari paras laut.

“Sebaik tiba, mangsa didapati luka di kaki kanan dan menyukarkannya bergerak. Dia diberi rawatan awal terlebih dahulu untuk menghentikan pendarahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 5:35 AM