MOHD Razi (dua kiri) bertanya khabar Yahya pada program ziarah kasih.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Tiada apa lebih penting buat tujuh beradik ini selain menumpukan penuh perhatian kepada ibu bapa mereka yang sakit.

Meskipun masing-masing sibuk dengan urusan harian, namun mereka tidak pernah mengeluh malah bergilir-gilir menjaga ibu bapa selagi hayat masih ada.

Yahya Maarof, 75, menghidap angin ahmar dan lumpuh separuh badan menyebabkannya tidak boleh bergerak manakala isteri Rohah Amin, 73, menghidap penyakit saraf.

Anak keempat, Amran, 49, menjaga ibu bapanya di FELDA Pasoh Tiga di sini dengan dibantu isteri dan adik-beradik lain.

“Selagi mereka masih ada, kami menjaga mereka walaupun masing-masing sibuk dengan tugas seharian.

“Ayah tidak boleh menguruskan diri dan memerlukan bantuan sepenuhnya manakala ibu masih boleh berjalan dan menguruskan diri.

“Saya tidak kisah menjaga mereka walaupun sibuk dan kami mengharapkan ayah kembali sembuh,” katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih UMNO Bahagian Jelebu dan UMNO cawangan FELDA Pasoh Tiga di rumahnya di sini semalam.

Pada program itu, Yahya menerima sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Menurut Amran, bapanya diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air tiga tahun lalu.

“Sejak itu, ayah menggunakan kerusi roda dan tangan kiri untuk bergerak.

“Ayah bergantung dengan ubat-ubatan dan rawatan susulan serta diberi minum susu khas setiap tiga jam seperti disarankan doktor.

“Susu berharga RM78 itu hanya bertahan empat hari dan setiap bulan perlu menyediakan lapan tin susu selain memerlukan lampin pakai buang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 5:41 AM