PEGAWAI SPRM membawa sebahagian barang kes ke mahkamah, semalam.
Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Enam bantal dan dua helai selimut berjenama Scandia Home dikemukakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan kes membabitkan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia Sukan (KBS) Otman Arsahd, 58, di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Asmawi Kulup Lam, 37, dalam keterangannya mengesahkan bantal dan selimut disita itu adalah milik Otman.

Selain itu, gambar panorama Tree Of Serenity karya Peter Lik turut dikemukakan di mahkamah dan ditandakan sebagai bukti.

Terdahulu, mahkamah diberitahu wang tunai berjumlah RM66,020 dan mata wang asing antaranya dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Singapura serta Dirham ditemui di dalam bag yang disita milik Otman Arsahd, 58.

Asmawi berkata, wang itu ditemui di dalam dua beg berjenama Emporio Armani dan Louis Vuitton.

“Di dalam beg kami menjumpai wang tunai RM100 sebanyak 365 keping, wang tunai RM50 sebanyak 539 keping, RM20 sebanyak 67 keping dan RM10 sebanyak 107 keping.

“Mata wang asing pula antaranya ialah dolar Singapura 1,000 sebanyak dua keping (RM5,958), Euro 50 sebanyak 36 keping (RM8,667) dan USD 100 sebanyak 16 keping (RM6,282),” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Husmarudin Husin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung hari ini.

Otman dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah terhadap 32 pertuduhan menyalah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu bernilai RM38.4 juta di pejabat MSN, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, antara 2 Mei 2012 hingga 18 November 2015.

Otman turut didakwa bersama ahli perniagaan Siti Rohanah Hussien, 43, dan suaminya Abdul Gafar Abdurahiman, 43, atas 190 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16.63 juta, empat tahun lalu.

Otman diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Abdul Gafar dan Siti Rohanah diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 5:49 AM