Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Seorang peniaga dihukum penjara selama setahun dan didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana memberi rasuah RM1,700 kepada anggota polis pada Februari lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Sazwan Zakaria, 27, mengaku bersalah terhadap tuduhan terhadapnya.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tambahan selama 10 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Tertuduh ketika ini sedang menjalani hukuman selama penjara lapan tahun dan 12 sebatan selepas didapati bersalah terhadap kesalahan memiliki senjata api oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas pada 4 Mac lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Sazwan didakwa memberi suapan sebanyak RM1,700 kepada Koperal Mohd Nazri Nadzir yang bertugas di Unit Risikan Batalion 9 (BN9), Kuala Terengganu sebagai dorongan untuk melepaskan dirinya daripada tindakan undang-undang kerana memiliki dua pucuk pistol, 18 butir peluru, sarung dan kelopak pistol.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Gual Tinggi, Rantau Panjang antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi pada 27 Februari lalu.


MOHD Sazwan dipenjara setahun dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan memberi rasuah RM1,700 kepada anggota polis.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh minta tidak dikenakan tindakan sambil berkata, “Ejas la bos, kesie ke anak bini kita, buke hok kito boh, hok ore tumpe ko kito. (Minta diuruskan tuan, kasihan kepada anak isteri saya, senjata itu bukan kepunyaan saya, ada orang minta simpankan).”

Pada fahaman anggota polis, tertuduh cuba merayu tidak dikenakan tindakan undang-undang dan anggota polis itu memberi amaran dan nasihat kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian mengarahkan isterinya mengambil wang dan menyerahkan kepada suaminya.

Dalam keadaan tangan bergari tertuduh kemudiannya meletakkan wang berjumlah RM1,700 di atas paha kanan anggota polis itu sambil disaksikan tiga anggota lain walaupun amaran dan nasihat sudah diberikan kepadanya.

Anggota polis itu terus menahan tertuduh dan mengambil wang itu sebelum diserahkan kepada ketua operasi iaitu Inspektor Mohd Rozaimi Bakhtiar untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 5:55 AM