Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


SUKARELAWAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan terhadap 38 tuduhan melakukan gangguan seksual dan meliwat terhadap 10 pelajar lelaki sebuah pusat tahfiz, sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nasrul Arman Ahmad, 41, meminta dibicarakan di hadapan, Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan terhadap 10 pelajar lelaki berusia 12 hingga 17 tahun di pusat tahfiz, di sini, daripada Julai 2017 hingga Februari lalu.

Tertuduh yang mengenakan baju T berwarna kelabu berdepan 29 pertuduhan meliwat enam pelajar di pusat tahfiz itu dan rumahnya di Taman Selamat, Teluk Sisek, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Nasrul Arman juga didakwa sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan gangguan seksual dan mencabul empat pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari kemudian meminta mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mengenali rapat semua mangsa serta bimbang akan mempengaruhi mereka.

Tertuduh yang diwakili Peguam, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar kemudian memohon hakim mempertimbangkan jaminan diberikan kepada tertuduh serta menetapkan syarat sampingan ke atasnya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM380,000 untuk semua pertuduhan serta syarat tertuduh tidak boleh mendekati semua mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, tertuduh ditahan pada 12 Mac lalu selepas tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Nasrul Ahmad yang juga bekerja sendiri dikatakan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di pusat tahfiz berkenaan sejak 2015.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita berkaitan:

Apalah nak jadi...? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 12:50 PM
NASRUL Arman Ahmad, 41, dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan, selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan kes liwat dan serangan seksual terhadap 10 pelajar sebuah maahad tahfiz sejak Julai 2017 hingga Febuari tahun lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal