PENGUNJUNG pusat hiburan termasuk penjaga premis yang ditahan.
Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Sebuah pusat hiburan di sini, menjadi tumpuan golongan tertentu berfoya-foya dan berhibur dengan menawarkan khidmat seks dan dadah.

Lebih mengejutkan, pusat hiburan yang mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit itu beroperasi di dalam bangunan usang dan sunyi.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila premis yang beroperasi di tingkat empat bangunan berkenaan diserbu dalam Op Khas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, jam 11.30 malam kelmarin.

Pengarah AADK negeri Nazira Sadiron berkata, serbuan ke atas premis hiburan itu susulan aduan diterima dua bulan lalu yang mendakwa ada aktiviti penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, pihaknya melakukan dua kali serbuan sebelum ini, namun gagal apabila pemilik menutup premis mereka sebaik menyedari kehadiran anggota AADK.


PEGAWAI AADK memeriksa pusat hiburan yang diserbu di Seremban.

Katanya, menerusi serbuan dengan kekuatan 50 pegawai dan anggota, pihaknya masuk dan menahan 14 individu termasuk penjaga premis.

“Hasil pemeriksaan menemui bungkusan dadah disyaki ganja dan ketamin yang digunakan pelanggan di dalam bilik karaoke.

“Kami juga menemui ‘ubat kuat’ dan tilam yang membuktikan pengusaha menawarkan aktiviti seks kepada pelanggannya. Malah, premis ini turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa,” katanya.

Nazira berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki berusia 40 hingga 50-an positif methamphetamine, ketamin dan heroin.

Katanya, keempat-empat lelaki itu dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan AADK negeri untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada pengusaha premis menyediakan dadah kepada pelanggan ataupun dibawa dari luar bertujuan memberi lebih keseronokan dan tenaga untuk berhibur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 3:51 AM