Adib Povera; Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman


PENGANJURAN Festival Gegaria 2018 di Dataran Amanjaya, Meru, Ipoh, hari ini bukan berkonsepkan hiburan semata-mata, sebaliknya turut menggamit memori lama melalui gambar dihasilkan jurugambar The New Straits Time Press (Malaysia) Berhad (NSTP) sejak zaman dahulu lagi.

Dengan mengekalkan konsep sama seperti di tiga loksi sebelum ini iaitu di Shah Alam, Johor Bahru dan Kuantan, Zon Throwback Tunnel yang disediakan menampilkan kelainan dari segi hasil gambar dipamerkan.

Menerusi aktiviti bertemakan kenegaraan, Throwback Tunnel membawa pengunjung melalui terowong atau kapsul mini untuk menyoroti sejarah pembangunan negara dengan acara gemilang setiap dekad ditonjolkan.

Dibuka dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam, pengunjung berpeluang menghayati koleksi foto dengan kesan cahaya lampu dan muzik yang pasti membangkitkan nostalgia.

Aktiviti ini membawa pengunjung mengimbau kenangan ketika zaman kecil, selain membangkitkan perasaan cinta dan hormat generasi muda terhadap mereka yang bertarung nyawa untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajah.

Pengunjung, Zulkifli Idris, 48, berkata, kreativiti yang ditampilkan menerusi Throwback Tunnel menggamit kenangannya ketika beliau masih kecil.

"Apabila saya terpandang gambar yang ditampilkan menerusi televisyen zaman 60an ini, saya teringat zaman masa kecil saya kerana kami memiliki televisyen jenis ini dahulu.

"Apa yang boleh saya katakan, mungkin dalam Throwback Tunnel ini, lebih banyak model (televisyen) jenis lama yang perlu ditampilkan," katanya ketika ditemui di Bulatan Amanjaya.

Sementara itu, Nur Nadia Khairudin, 30, berkata, gambar yang dipamerkan memang menggamit nostalgia sekaligus membangkitkan semangat kenegaraan dalam kalangan pengunjung.

"Konsep yang diketengahkan memberi pendedahan kepada generasi baru untuk melihat sendiri kenangan zaman dahulu antaranya seniman serta seniwati negara, kejayaan menjulang Piala Thomas dan lain-lain.

"Bukan senang untuk kita orang luar ini untuk melihat hasil jurugambar profesional zaman dahulu dan apa yang ditampilkan pada festival ini memang menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 12:37 PM
THROWBACK Tunnel antara aktiviti di Festival GegaRia 2018 edisi keempat di Dataran Amanjaya, Meru. FOTO Muhd Zaaba Zakeria