BEG plastik hitam yang dirampas polis selepas menahan dua lelaki. FOTO ihsan Polis
Nur Izzati Mohamad


POLIS menahan dua lelaki yang memiliki 18 beg plastik hitam mengandungi 21.5 liter air ketum ketika sekatan di Jalan Besar, Perai, semalam.

Suspek berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan pada 1.45 pagi ketika menaiki kereta berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, polis menahan kenderaan yang dinaiki dua suspek selepas didapati kedua-duanya berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan polis kemudian menemui 18 beg plastik hitam yang kesemuanya mengandungi air ketum yang dianggarkan bernilai RM215.

“Kesemua barangan itu kemudian dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang membawa sejumlah dadah ketika mengadakan sekatan di kawasan Seberang Jaya, semalam.

“Pemeriksaan mendapati suspek itu mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kini ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 1:19 AM