Penduduk TTDI berkumpul di Taman Rimba Kiara TTDI bagi membantah projek pembangunan di taman itu.
Nor Afzan Mohamad Yusof dan Awaina Arbee

Kuala Lumpur: Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mendakwa pihak pemaju berniat jahat apabila terus melakukan pembangunan di Taman Rimba tanpa menunggu semakan kehakiman daripada mahkamah.

Pengerusi Naib Pengerusi Persatuan Penduduk TTDI, Clinton Ang berkata, tindakan berkenaan tidak wajar kerana pihak pemaju seolah-olah mengetepikan perbicaraan yang masih berlangsung di mahkamah.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kehairanan dalam kalangan penduduk, seolah-olah pemaju pasti mereka menang di mahkamah.

“Secara asasnya kerja pembinaan bermula sejak pertengahan Mac lalu, sedangkan kes ini masih dalam semakan.

“Pemaju terlalu angkuh dan langsung tidak menunjukkan sama sekali rasa bersalah, seolah-olah mereka menang dan penduduk kalah dalam semakan kehakiman yang berlangsung.

“Kenapa mereka terlalu tergesa-gesa? Bagaimana sekiranya mahkamah membuat keputusan yang berpihak kepada penduduk? Sedangkan segala kemusnahan sudah pun berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media bantahan aman mengenai pembangunan projek bercampur di Taman Rimba Kiara (TRK), Bukit Kiara di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Pada majlis itu, lebih 50 penduduk TTDI melakukan aktiviti berkelah sambil membawa beberapa sepanduk bertulis ‘Kurangkan pencerobohan, banyakkan pemuliharaan’ dan ‘Taman untuk manusia, bukan kondominium’, sebagai simbolik terhadap membantah projek pembangunan di lokasi berkenaan yang dilihat terus dilakukan pemaju, sejak 14 Mac lalu.

Malah banyak pokok ditebang untuk membuat laluan alternatif ke taman berkenaan, iaitu sebagai sebahagian daripada cadangan dalam pembangunan bercampur kondominium mewah dan blok perumahan mampu milik dalam projek berkenaan.

Desakan orang ramai supaya cadangan pembangunan di TRK dihentikan tidak sekadar bimbang terhadap kesan ditimbulkan, tetapi juga gangguan kepada habitat fauna yang ada di situ.

Bantahan dilakukan badan bukan kerajaan termasuk pencinta alam.

Kawasan rimba rekreasi TRK menjadi habitat lebih 40 spesies unggas termasuk beberapa spesies burung pemangsa.

Dalam perkara berkaitan Ang berkata, pihaknya turut membuat permohonan bertulis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan dalam perkara berkenaan.

“Kami tulis surat kepada Perdana Menteri, tetapi masih belum menerima jawapan.

“Tetapi kami merasakan apa yang kami perjuangkan ini selari dengan matlamat Perdana Menteri dalam wawasannya untuk melihat taman di tengah bandar raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 5:51 AM