ANGGOTA STAFOC mengawal pekarangan Kompleks Mahkamah Sepang ketika pendakwaan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.
Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sebelum kemunculan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), kegiatan membanteras jenayah di seluruh negara menjadi tanggungjawab penuh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9).

D9 ditubuhkan pada 1970 susulan kegiatan jenayah kumpulan kongsi gelap yang dikuasai orang Cina serta Geng 360 selain kumpulan yang berseteru dengan mereka.

Dengan hanya berbekalkan senjata api dikategorikan agak ketinggalan seperti sub mesingan Sterling 9mm, buatan United Kingdom, Colt M1911 serta Revolver .38 (Amerika Syarikat), ia bukanlah halangan untuk melaksanakan tugas berisiko besar.

Antara kejayaan awal dikecapi pasukan D9 adalah menumpaskan kumpulan Robin Hood Malaysia (Botak Chin) pada 1976 oleh unit Magnificent Twelve (M12) yang dianggap sebagai satu kejayaan besar pada masa itu.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata kes-kes jenayah berat pada masa itu semakin berleluasa sebelum anggota dan pegawai D9 dalam kalangan muda ditambah bagi memperkuatkan pasukan berkenaan.


DEMONSTRASI unit STAFOC pada majlis pelancarannya di Pulapol.

“Sekitar tahun 80-an, kehadiran kumpulan kongsi gelap berbangsa Melayu dan India amat membimbangkan dengan puluhan siri pembunuhan ke atas individu tidak bersalah selain mereka juga terbabit mencederakan anggota polis.

“Faktor berkenaan mendorong pucuk pimpinan pada masa itu memperkuatkan pasukan D9 dengan kemampuan yang ada bersama penggunaan mesingan MP5 buatan Jerman yang digunakan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata ada anggota D9 yang menjadi sasaran balas dendam sehingga berhadapan risiko dibunuh atau ancaman oleh penjenayah yang tidak dikenali serta kumpulan kongsi gelap.

“Bagaimanapun itu semua adalah lumrah yang sudah diketahui sejak awal lagi oleh setiap warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyertai D9.

“Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara tanpa mengira masa dan tempat,” katanya.

Kemudian pada 2013, D9 kembali menemui rentak apabila menyertai OPS Cantas dan berjaya menahan dan mendakwa penjenayah berbahaya selain terpaksa mengambil tindakan menembak mati terhadap mereka yang mengancam nyawa pegawai dan anggota dalam mana-mana operasi yang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:52 AM