GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga Nepal maut akibat ditikam oleh rakan sebiliknya ketika berada di rumah sewa mereka di Seksyen 8, Petaling Jaya, kira-kira 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu 2.20 petang daripada seorang pekerja klinik swasta di Jalan Barat, di sini.

"Pekerja terbabit memaklumkan ada orang awam membawa mangsa yang ditikam ke klinik berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 30-an tinggal sebilik dengan tiga individu lain termasuk seorang suspek di tingkat satu sebuah restoran di Seksyen 8, di sini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, ketika kejadian, hanya mangsa dan suspek berada di dalam bilik berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua tikaman di bahagian dada mangsa yang menyebabkan kematiannya.

"Kami masih memburu seorang suspek yang juga rakan sekerja mangsa yang bekerja di pasaraya di Seksyen 8," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 7:59 PM