ANIFIRDAUS bersama isteri dan anaknya.
ANIFIRDAUS bersama isteri dan anaknya.
HM Digital

Seri Iskandar: Kehidupan seorang lelaki bersama isteri serta tiga anaknya yang dulu hidup dalam kebahagiaan berubah dalam sekelip selepas mata kanannya disahkan buta oleh doktor akibat masalah glaukoma tujuh tahun lalu.

Selain mata kanannya yang buta, mata kiri Anifirdaus Anif, 35, juga disahkan hanya dapat melihat bayang-bayang dan penyakit dialami menyebabkannya hilang pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.

Difahamkan, masalah kesihatan berpunca daripada kerosakan saraf mata itu dialaminya sejak 2007 dan ia semakin serius tujuh tahun lalu sebelum mata kanannya buta sepenuhnya.

Anifirdaus berkata, dia yang dulu bekerja sebagai pengawal keselamatan berhenti selepas masalah penglihatan mula disedari rakan sekerja akibat sering melakukan kesilapan.

“Orang sekeliling dan majikan sudah mula perasan masalah saya kerana kadang-kadang terlanggar sesuatu malah pernah jatuh longkang hingga menyebabkan saya berhenti dan membuat kerja kampung,” katanya yang ditemui di rumahnya di Perumahan Kos Rendah Fasa 1 Desa Seri Iskandar, di sini, semalam.

Menurutnya, memandangkan dia tidak mampu melakukan kerja lain lagi, dia mengambil kursus refleksologi di rumah Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) di Gunung Rapat, Ipoh sejak awal tahun lalu.

“Berdasarkan penerangan pihak hospital, masalah mata saya ini sukar diubati kerana ia membabitkan saraf mata dan dibekalkan ubat untuk menahan tekanan mata saja.

“Saya dan keluarga menyewa di sini dan berharap ada bantuan rumah sendiri kerana bimbang tidak mampu membayar sewa selepas ini,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia satu hingga enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 3:36 AM