DR Abdul Kadir
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Ditipu serendah RM10 hingga ribuan ringgit, namun jika dihitung jumlah besar kerugian dialami ratusan pengguna melakukan pembelian menerusi atas talian mencecah jutaan ringgit.

Angka kerugian itu berdasarkan rekod aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) daripada pengguna yang kecewa atau tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diterima sepanjang tahun lalu.

Penasihat Khasnya Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, berikutan itu satu garis panduan menyeluruh mengenai perkara terbabit perlu diperkenalkan bagi mengelakkan penipuan atas talian terus berlaku.

Beliau berkata, PPIM menerima banyak maklum balas dan aduan daripada pengguna yang tidak berpuas hati dengan urus niaga secara maya kerana wujud elemen penipuan sama ada barang tidak sampai atau kurang berkualiti.

“Banyak kes dirujuk kepada kami membabitkan nilai pembelian serendah RM10 dan bila berlaku penipuan, mangsa enggan membuat aduan kerana nilainya rendah.

“Memang benar nilai itu kecil, tapi bila dihitung kami terkejut kerana ia mencecah jutaan ringgit jadi siapa yang perlu bertanggungjawab?” katanya.

Dr Abdul Kadir berkata, pada kebiasaan dalam tempoh tujuh hari saja pihaknya menerima tidak kurang 10 aduan dan maklum balas pengguna yang melakukan pembelian menerusi platform atas talian.

Menurutnya, ada juga dalam kalangan mangsa yang berkali-kali terpedaya dengan iklan di laman web namun tidak membuat laporan kerana jumlah kerugian dianggap kecil.

“Ada pengadu beritahu, kerana terlalu minat satu jenama telefon, dia rugi RM520 selepas barang ditempah tidak sampai, malah penjual menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

“Pada minggu berikutnya dia beli lagi telefon diiklankan di laman web namun berputih mata apabila penjual itu berkali-kali mendesak memasukkan wang ke dalam akaun menjadikan jumlah yang perlu dibayar bertambah,” katanya.

Justeru, PPIM meminta pihak berwajib khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar meneliti kaedah sedia ada bagi mengelakkan penipuan seperti itu terus berlaku pada masa depan.

Antara cadangan dikemukakan termasuk memastikan pengiklan di laman web memaparkan nombor telefon sebenar yang boleh dihubungi sekiranya berlaku masalah dalam urusan jual beli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:02 AM