NAJIB bersama Ahmad Bashah (kiri) menikmati sarapan pagi bersama penduduk setempat di Pantai Murni, Yan, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Petah Wazzan Iskandar dan Embun Majid


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak memulakan program dua hari di Kedah, hari ini dengan bersarapan dengan masyarakat setempat di Medan Selera Pantai Murni, Yan.

Beliau tiba di medan selera pada 10.15 pagi dengan diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut menyambut ketibaan beliau ialah lebih 200 penduduk setempat yang sudah menunggu seawal 8 pagi.

Perdana Menteri meluangkan masa mendengar taklimat ringkas Jamir Khir mengenai perkembangan pembinaan sambungan Lebuhraya PLUS dari Gurun ke Pulau Bunting, Dewan Orang Ramai Taman Gurun Jaya dan perkembangan Jambatan Bukit Choras.

Dalam ucapan ringkas, Najib berkata, beliau tidak menyangka menerima sambutan yang meriah sehingga medan selera ini sesak.

Beliau melahirkan rasa gembira dan memaklumkan sememangnya berhasrat untuk bersarapan pagi dengan penduduk dan nelayan dalam kawasan Parlimen Jerai di Pantai Murni.

“Saya rasa seronok dapat bersarapan pek nga, gulai ikan temenung dan air nira yang terbaik di Malaysia.

“Sebelum datang sini (Pantai Murni), pelbagai bantuan diberi termasuk pembinaan Masjid Terapung Daerah Yan bernilai RM18 juta. Parlimen Pekan pun tiada masjid sebegini yang bertaraf masjid negeri.

“Hangpa (anda) semua dah dapat... tapi saya tidak dapat lagi. Nanti bila sudah raya (pilihan raya umum), jangan lupa saya," katanya dalam nada berseloroh.

Selepas meluangkan masa bersarapan selama kira-kira 30 minit, Najib bergerak ke majlis perasmian Perumahan Nelayan Muafakat Kedah di Kampung Nelayan, Tanjung Dawai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 11:47 AM