ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas terbabit dalam kemalangan, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI menahan sakit hampir satu jam selepas tangan kanannya tersepit di antara pokok dan kereta selepas kenderaan dipandu terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 7.5 Jalan Bentong-Raub, Bukit Lebu, Bentong, hari ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi, Perodua Myvi dipandu mangsa, 25, dikatakan terbabas sebelum kenderaan itu terjatuh ke dalam gaung sedalam 16 meter berhampiran lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.51 pagi sebelum 12 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan Raub dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati tangan kanan mangsa tersepit di antara kereta dengan pokok akibat kemalangan itu.

“Difahamkan mangsa terpaksa menahan sakit hampir satu jam sebelum menghubungi abangnya yang menghubungi pihak bomba.

“Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan tangan mangsa yang tersepit sebelum dia berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas sendiri ke lorong kiri sebelum masuk ke kawasan semak berhampiran.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta berkenaan jatuh ke dalam gaung sedalam 16 meter dari lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:51 PM