PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat (tiga dari kiri) ketika melakukan gimik perasmian majlis Sambutan Hari Tibi Sedunia 2018 Peringkat Negeri Johor di Dewan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat, Johor. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamed Farid Noh


KUMPULAN ibu bapa anti-vaksin dikesan menjadi antara faktor peningkatan serta penularan semula penyakit mudah berjangkit yang sebelum ini sudah berjaya diatasi dan dikurangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, keengganan ibu bapa mengambil imunisasi vaksin bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan penyakit berjangkit malah mendedahkan orang lain terutama kanak-kanak kepada jangkitan.

"Jabatan Kesihatan Johor bimbang dengan kemunculan semula penyakit berjangkit yang sebelum ini sudah diatasi terutama Tibi yang merekodkan peningkatan sedangkan sebelum ini ia sudah berjaya dibendung.

"Selain Tibi, antara penyakit berjangkit yang menular semula termasuk cacar, difteria dan polio berikutan sasaran 95 peratus kadar penduduk diberi vaksin atau perlindungan kelompok imuniti tidak tercapai sekali gus mendedahkan kanak-kanak kepada jangkitan penyakit.

"Ada antara ibu bapa enggan mengambil vaksin untuk anak mereka dengan menggunakan alasan agama, namun kita perlu ingat bahawa menjaga nyawa itu adalah wajib," katanya selepas merasmikan Hari Sambutan Tibi Sedunia 2018 Peringkat Johor di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz.

Sementara itu, Ayub berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan juga sudah mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pengambilan vaksin sebagai kaedah pencegahan penyakit menurut Islam.

"Kita bimbang kalau tindakan (anti-vaksin) semakin meningkat, dan dapat dilihat terutamanya dalam kalangan orang Melayu, maka lebih banyak penyakit berjangkit akan muncul dan menular semula," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata pelaksanaan vaksin BCG yang disasarkan kepada sekurang-kurangnya 95 peratus dari jumlah penduduk di bawah 20 tahun, diharap berjaya memberi perlindungan kepada semua kanak-kanak dari mendapat penyakit tibi kronik.

Katanya, di Johor sebanyak 2,251 kes penyakit tibi direkodkan tahun lalu berbanding 2,331 kes pada 2016.

"Namun kadar kematian akibat penyakit tibi di Johor meningkat kepada 4 kes bagi setiap 100,000 penduduk berbanding hanya 3.6 kes bagi 100,000 penduduk pada 2015.

"Majoriti kes tibi yang dikesan adalah di kalangan rakyat Malaysia dan hanya 10 peratus sahaja disumbangkan warga asing sekali gus membuktikan rakyat tempatan adalah punca penularan utama penyakit ini di negara kita malah ia juga diburukkan dengan kelewatan mendapat rawatan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 5:58 PM