MUHAMAD Nasir diiringi keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, semalam.
HM Digital

Melaka: Seorang bekas pengurus projek dipenjara tiga tahun dan dikenakan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, semalam atas kesalahan pecah amanah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) bernilai RM2.54 juta, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Nasir Razak, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan Pengurus Projek SBPKP didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu Baja Sebatian, NPK Tambahan dan Urea sebanyak 56,700 beg berjumlah RM2.54 juta melalui nota hantaran yang diperuntukkan di bawah SBPKP Tahun 2016 dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) 2016.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Merlimau, Jasin, antara Januari hingga Disember 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan sebatan serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afzainizam Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Syed Adam Al Aqib Syed Mohammad Redza dan Mohd Ridzlan Shah Izman.

Akhbar sebelum ini melaporkan lima lelaki termasuk pemandu lori, pesawah dan peniaga ditahan berhubung kes penyelewengan SBPKP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 3:56 AM