FOTO hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI maut selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Jalan Lama Kuala Selangor, Sungai Besar, pada 8.15 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa Mohamad Azman Abd Wahab, 57, sebelum itu meletakkan kenderaannya di bahu jalan sebelah kiri sebelum melintas jalan.

“Siasatan awal mendapati mangsa mahu ke kedai makan yang terletak di kanan jalan.

“Namun, sebuah Toyota Avanza dipandu lelaki berusia 64 tahun dari arah Jalan Sungai Burung menghala ke Jalan Sungai Besar gagal mengelak lalu merempuh mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, laluan berkenaan dalam keadaan gelap

“Mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia jam 12 tengah malam tadi,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:23 AM