SAIFI (dua kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Bedong. FOTO Omar Osman


POLIS menahan tokan dadah, 39, bersama ibunya, 69, selepas menemui sejumlah 4,115 gram dadah jenis heroin dan syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Bedong, Sungai Petani, semalam.

Serbuan dilakukan pada 11.15 pagi di rumah yang terletak di dalam ladang kelapa sawit oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, pihaknya menahan serang lelaki dan ibunya sebelum menemui dua peket dadah jenis syabu seberat 5.5 gram.

Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek lelaki, polis dibawa ke sebuah rumah kosong terletak bersebelahan rumah mereka.

“Hasil pemeriksaan menemui satu beg hitam dan satu kotak pembesar suara kereta mengandungi tujuh peket plastik besar berisi ketulan putih dadah jenis heroin seberat 3,100 gram.

“Manakala pada kotak pembesar suara, polis menemui sebanyak 19 peket plastik kecil berisi dadah jenis syabu seberat 1,015 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Kuala Muda di Sungai Petani, hari ini.

Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas berjumlah RM110,000 di pasaran, selain merampas dua motosikal Honda EX5 dan Honda Wave Dash bernilai RM9,000.

Katanya, saringan ujian air kencing yang dibuat ke atas lelaki itu didapati positif dadah selain mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah.

“Dua beranak itu direman seminggu bermula hari ini hingga 3 April untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 4:54 PM