ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran tapak pelupusan sampah haram di Fasa 8, Taman Sri Gombak.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gombak: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan kaedah direct attack iaitu masuk ke kawasan kebakaran lebih dekat menggunakan tiga jengkaut dalam usaha memadamkan kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah haram di Fasa 8, Taman Sri Gombak, di sini.

Jurucakap JBPM Selangor berkata, kawasan berkenaan terbakar sejak lima hari lalu dalam jarak 66 meter dari kawasan perumahan.

“Bomba menjalankan kerja memadamkan api di kawasan tapak pelupusan sampah dipercayai beroperasi secara haram.

“Usaha memadamkan kebakaran dianggarkan seluas 1.62 hektar itu dianggap mencabar kerana api didapati merebak dengan cepat ke kawasan lain disebabkan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Jurucakap itu berkata, kebakaran berlaku di kawasan cerun yang dijadikan tapak pelupusan sampah.

“Bomba juga menerima bantuan daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 3:35 AM