AMMAR Roslizar (kiri) dan Nor Raeesa Syahirah.
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Memperkenalkan pakej tanpa tourist trap kepada pelanggan serta membangunkan sendiri teknologi bagi memudahkan pengurusan syarikat antara idea unik Ammar Roslizar, 28, dan rakan kongsinya, Ammar Shahrin, 29, hingga tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2018 bagi kategori Runcit dan E-Dagang.

Anak muda tempatan itu disenaraikan antara 300 syarikat atau individu berusia bawah usia 30 tahun di Asia yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Ammar Roslizar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Travel & Tours Sdn Bhd berkata, dia bersama Ammar Shahrin dan dua lagi rakan kongsi memperkenalkan pakej tanpa tourist trap atau tiada tempat paksa beli kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Menggunakan pengalaman menetap di luar negara, kami menawarkan pakej sesuai dan berpatutan untuk membantu pelanggan bercuti ke luar negara merasai pengalaman unik serta sama rata seperti penduduk tempatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, selain itu mereka juga membangunkan teknologi khas bagi menjadikan urusan syarikat lebih efisien, jimat dan tidak memerlukan tenaga kerja dalam jumlah ramai.

Satu lagi sebab kami disenaraikan dalam Forbes kerana penggunaan teknologi AI (Artificial Intelligence) yang kami bangunkan sendiri. Semua urusan syarikat termasuk tempahan dan menjawab pertanyaan pelanggan diuruskan sistem yang kami namakan sebagai ‘Lisa’.

“Selain itu, menerusi badan kebajikan rasmi kami iaitu 1Moment4Them, kami memfokuskan pembangunan sosioekonomi anak-anak tanpa kerakyatan di Sabah serta mewujudkan peluang menjana pendapatan kepada individu yang mengalami bipolar, kemurungan, anxiety disorder dan skizofrenia.

“Bagi kami kejayaan ini bukan untuk mencari kejayaan atau nama, tetapi membuktikan anak muda terutama Bumiputera mampu bersaing hingga ke persada antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, penghasilan kosmetik halal yang memperjuangkan sumber dan bahan suci membawa kejayaan kepada usahawan wanita yang berasal dari Subang Jaya untuk tersenarai dalam tujuh daripada 10 kategori senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2018.

Mengulas mengenai kejayaannya, Nor Raeesa Syahirah Mohd Nor, 28, berkata, produk kosmetik dipasarkan menggunakan jenama Orkid Kosmetik itu selamat digunakan selain menentang penganiayaan terhadap haiwan.

Katanya, mereka menghasilkan 10 variasi gincu yang selamat, beretika dan jujur tanpa menjejaskan iman, kesihatan dan kulit pengguna.

“Kami menghasilkan produk yang selamat dijual pada harga berpatutan selaras konsep Islam yang bersederhana. Produk kami mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Memang ini bukan kejayaan pertama saya, tetapi mahu mencapainya bukan mudah. Kejayaan ini adalah hasil usaha yang berterusan tanpa putus asa sejak setahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 5:25 AM