Anggota penguat kuasa memeriksa pengemis cacat fizikal berusia 43 tahun di Kota Bharu.
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa, seorang pengemis cacat fizikal dikesan menggunakan ‘pengawal peribadi’ bagi melindunginya.

Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun itu yang cacat tangan dan kaki daripada paras paha ada hubungan dengan individu tertentu yang mengangkat serta membawanya lari setiap kali operasi dilakukan.

Bagaimanapun, dia tidak bernasib baik apabila ‘pengawal peribadinya’ tiada bersamanya ketika Operasi Bersepadu Menyelamat Pengemis dilakukan bermula jam 10.30 pagi hingga jam 1.30 tengah hari, semalam.

Operasi itu membabitkan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK).

Pengemis itu ketika ditemui berkata, dia mengemis sejak lebih 10 tahun lalu dan pernah ditahan pada 2013.

“Saya menyedari kehadiran mereka (pihak berkuasa) ketika mengemis di Pasar Siti Khadijah, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa dan terpaksa diangkat ke dalam trak bersama pengemis lain.

“Untuk mengemis, saya menaiki kereta sewa setiap hari untuk berulang-alik dari rumah di Bachok ke Pasar Siti Khadijah atau Wakaf Che Yeh.

“Dalam tempoh dua jam, saya mampu mengutip RM150,” katanya.

Dia yang mendapat elaun bulanan pekerja cacat berjumlah RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggunakan kecacatan fizikalnya sebagai alasan meraih simpati.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri Nazri Hussin berkata, 23 pengemis termasuk tiga kanak-kanak terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing diselamatkan dalam operasi berkenaan.

“Operasi ini bertujuan membanteras aktiviti mengemis, gelandangan, penjualan di kaki lima bank dan premis tanpa lesen perniagaan serta kutipan derma tanpa kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 5:27 AM