Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my


PEGAWAI pembangunan usahawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, kerana didakwa mengemukakan tuntutan palsu dalam aktiviti pembinaan dan naik taraf laman web program khas untuk menggalakkan pelajar sekolah di negeri ini berniaga.

Muhamad Hafriz Alias, 30, yang bertugas dengan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Hafriz didakwa mengemukakan invois palsu berjumlah RM14,799 bagi kerja membina laman web Program Tunas Niaga (PROtune), sedangkan jumlah bayaran sebenar adalah RM7,299.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengemukakan invois palsu berjumlah RM 10,800 bagi kerja menaik taraf laman web berkenaan, sedangkan bayaran sebenar adalah RM5,400.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PKNNS di Jalan Za'aba di sini, masing-masing pada 2 September2014 dan 2 Mac 2015.


MUHAMAD Hafiz Alias, 30 diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu dalam aktiviti pembinaan dan naik taraf laman web program khas untuk menggalakkan pelajar sekolah di negeri ini berniaga. FOTO Hazreen Mohamad

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan mengurangkan jaminan, tertuduh memberitahu mahkamah dia tidak akan melarikan diri kerana masih bertugas dan perlu menyara ibu bapanya yang sudah tua.

Hakim menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 2 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi dan Pegawai Pendakwa SPRM Karmila Mokhtar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 12:53 PM